Thursday, January 3, 2008

HASIL NUKILAN AYAHANDA, HAJI SIPIL BIN WAKAR

Sekapur Sirih Seulas Pinang

Ah!!! entah mengapa hatiku ini resah sahaja dari tadi. Setibaku di meja pondok dekat lokasi ikan-ikan kolam peliharaanku. Sehingga kini setelah selesai sembahyang Zohor. Walaupun ikan-ikan di kolam selalunya membuat aku seronok melihatnya setiap hari, namun hatiku masih resah, makanan ikan pada saat itu masih belum aku sentuh dan menaburnya ke atas permukaan air dalam kolam.

Kebiasaannya akulah orang yang pertama berminat memberi makanan ikan-ikan itu setiap hari. Namun selepas melabuh punggung di atas kerusi di pondok tadi aku masih resah tidak menentu. Aku cuba mencari puncanya tetapi fikiranku yang goyah tidak mampu mengorek rahsia hati ini.

Mungkin aku teringatkan anak-anak, cucu-cucu dan sepupu-sepupu dari jauh dan dekat yang sudah lama jarang berjumpa kami sekeluarga di kampung. Anak-anak yang dekat pun jarang berjumpa inikan pula mereka yang jauh, kerana sibuk menghadapi tugas harian masing-masing.

Aku bukan merajuk kepada anak-anak, cucu-cucu dan saudara sepupu tidak tinggal dekat bersamaku, tapi turut berbangga kerana mereka yang berkeluarga mampu mengharungi kehidupan bersama cucu-cucu aku mewarnai dunia ini dengan cara mereka tersendiri. Cuma aku bimbang cucu-cucuku kelak tidak mengenali di antara satu dengan lain dan asal usul mereka, mungkin hanya mereka lebih berminat ingin mengenali pencipta komputer yang pertama daripada ingin mengenali sanak saudara atau asal usul mereka.

Tiba-tiba hatiku terlerai, baru aku tahu rupa-rupanya keresahan hati ini bersebab, sudah lama saya menyimpan impian meriwayatkan kisah silam aku serta mencatat segala maklumat tentang salasilah keluargaku, agar dapat menjadi rujukan kepada anak-anak, cucu-cucu serta keluarga aku yang lain. Impianku ini aku abadikan dalam ruangan yang aku namakan "HALAMAN KELUARGA HAJI SIPIL".

Aku pun melabuhkan punggung di dada kerusi sambil mengimbau kenangan silam perjalanan hidupku dan tanganku mengambil pena lalu mencoret segala dalam kertas putih dan aku terjemahkan dalam bentuk tulisan. Isteriku yang dari tadi menjeling melihat tingkahlaku aku tersenyum simpul kerana persoalannya terjawab bila melihat aku memulakan coretan di atas kertas .

Perjalanan Awal Hidupku

Tempat kelahiranku agak terpencil, yang dikenali ramai sebagai Kampung Bantayan Pengilan dan kampung yang berhampiran ialah Kampung Metambun. Pada zaman silam perhubungan di kampungku agak sukar, biasanya perhubungan yang paling mudah dan cepat ialah melalui sungai Tuaran. Pada masa itu Api-Api iaitu lebih dikenali sebagai Kota Kinabalu sejak pemerintahan USNO kurasakan sangat jauh jaraknya dari kampung halamanku kerana belum ada kereta sebagai alat perhubungan.

Ketika pemerintahan Kolonial British nama Api-Api telah ditukar kepada Jesselton dan kenderaan pun diperkenalkan oleh pihak penjajah sebagai alat perhubungan, tapi hanya sesekali dapat dilihat. Namun kedudukan Jesselton iaitu 45 batu jauhnya dari kampung tidak memungkinkan kami sekeluarga berulang-alik ke bandar. Tetapi sekarang telah berubah, kenderaan bertali arus, jika hendak ke Kota Kinabalu cuma mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit bagi kereta yang dipandu dengan kelajuan 90km sejam. Perbezaan yang besar ini menguatkan semangatku untuk melaksanakan impian ini agar generasi keluargaku kemudian dapat menyelami zaman silamku untuk pengetahuan dan panduan kelak.

Tanggal 13 Mei 1936 mencatat sejarah tersendiri buatku seperti mana tercatat dalam sejarah Malaysia 13 Mei selepas 33 tahun tahun kelahiranku. Ibu menamakanku Sipil bin Wakar dan setelah memeluk agama Islam pada 15 Februari 1971 nama aku ditukar kepada Mohd Shuib Wakar. Namun dalam urusan seharian masyarakat lebih mudah memanggil namaku dengan nama yang diberi oleh ibu iaitu Sipil Wakar.

Menerjah kenangan silam, membuatku pilu, Ibu yang aku sayangi yang telah lama meninggal. Ibuku dikenali dengan nama Singkar Bte Ontok, asal Dusun Raganan Tuaran. Pernikahan pertama ibuku dengan Ayub menghasilkan dua cahaya mata, iaitu abangku bernama Johari Bin Anyub dan kakakku Ansawing Bte Anyub.

Pernikahan kedua ibuku dengan bapaku bernama Wakar menghasilkan anak tunggal. Akulah anak itu. Namun aku bersyukur kerana kini mempunyai dua orang abang. Abangku yang kedua adalah hasil perkahwinan ayahku yang pertama. Abangku yang seorang ini lebih tua daripada kami semua, dikenali sebagai Damoi Wakar, ketiga-tiga kami telah memeluk agama Islam kecuali kakak yang masih lagi menganut kepercayaan anemisme iaitu Pagan.

Ketika zaman kanak-kanak, aku selalu bertanya kepada ibu tentang ayahku, namun ibuku tidak banyak menceritakannya. Yang aku tahu, ayah dan lebih sesuai kalau ku panggil bapa telah meninggal dunia ketika aku berumur dua tahun. Bapa berasal dari kampung Kiandu, Topokon, namun hingga kini tidak banyak yang ku tahu tentang sanak saudara dari sebelah bapa.

Termenung sejenak mengenangkan ibuku yang telah meninggalkan kami. Ibu menjadi tunggak keluarga dan bertanggungjawab membesarkan aku. Keadaan ekonomi keluarga aku pada ketika itu amat menyedihkan, ada ketikanya beras yang tinggal cuma sedikit. Untuk menanak nasi pun tidak cukup. Kekurangan tidak cukup gah menggoyah semangat ibuku. Ibu cuba pula berikhtiar mencari buah nangka dan dipotong halus untuk mengenyangkan kami. Kadangkala kami makan berlauk belacan. Nasi bercampur nangka berlauk balacan adalah menu harian kami ketika sarapan pagi atau makan malam untuk beberapa waktu.

Pengalaman silam ini selalu ku ceritakan kepada anak-anak sebagai suatu nasihat dan teladan. Ada ketika mereka leka dengan dunia fantasi mereka sehingga mereka alefa akan peredaran dunia yang tidak pernah menunggu sesiapa pun mengubah keadaan kecuali mereka yang sedar tidurnya. Aku bersyukur kerana perjalanan hidup yang perit ketika kanak-kanak mengajar aku membuat perubahan setelah meningkat dewasa dan kehidupan hari ini, dengan izin Allah kehidupan hari ini yang boleh dikatakan senang adalah kerana kesedaran ku mengubah keadaan agar keadaan silam tidak berulang lagi.

Akademik

Pembinaan bangunan sekolah yang pertama disekitar Pekan Tamparuli di biayai oleh Pejabat Daerah Tuaran pada tahun 1950 ketika pemerintahan British. Kami adalah pelajar perintis sekolah itu yang dikenali sebagai Sekolah Government Primary School (GPS) Pekan Tamparuli.

Kami mula mendaftar di GPS pada 01 Februari 1950. Pada ketika itu, murid-murid darjah satu bukanlah kanak-kanak berumur 7 tahun seperti murid-murid tahun satu sekarang, Umurku ketika itu ialah 13 tahun. Memandangkan murid darjah satu adalah untuk kanak-kanak berumur di bawah 10 tahun, maka dengan bantuan mentua abang Damoi iaitu ketua Kampung Bantayan KK Tinggi, tarikh lahirku dari 1936 diubah kepada 1939, ini membolehkan aku diterima sebagai murid di sekolah GPS dalam darjah satu. Perasaan aku pada ketika itu tidak dapat ku gambarkan dengan kata-kata kerana impianku untuk bersekolah telah tercapai.

Ucapan terima kasihku kepada Guru Besar ketika itu, iaitu Cikgu Baba tidak terhingga serta masih aku kenang hingga kini. Aku tidak dapat membayangkan keadaan ku sekiranya aku tidak bersekolah. Sepanjang dua tahun persekolahan, bekalan makanan pengalas perut ketika berada di sekolah hanyalah buah-buahan masak seperti buah nangka, terap, pisang dan lain-lain yang aku peroleh dari kebun ibuku. Ketika rehat, tandaslah tempatku tuju yang utama kerana aku malu kalau-kalau kawan-kawan nampak apa yang aku makan kerana ramai temanku mampu membeli makanan seperti kuih yang dijual di sekitar sekolah.

Empat tahun berlalu, aku tempuhi perjalanan hidup yang sama dengan teman-teman. Ketika itu umur aku sudah menjangkau 17 tahun, iaitu setelah empat tahun dalam persekolahan baru aku mampu membeli makanan seperti kawan-kawan yang lain dengan wang hasil upah membajak, meragus, menyisir dan mengatam padi jiran-jiran di kampung.

Guru-guru pada zaman persekolahan aku sangat tegas dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Murid-murid yang gagal memenuhi kehendak pembelajaran di sekolah akan di denda dengan rotan, biasanya merotan di hujung jari murid tersebut, kadangkala sehingga hujung jari bengkak, namun tiada siapa yang berani mengadu kepada ibubapa kerana kami tahu niatnya bukan untuk mendera. Pada pandangan aku, iaitu amat berkesan merangsang kami untuk melangkau keupayaan diri terutama menggunakan daya ingatan, menghafal teks yang terdapat di dalam buku teks. Murid-murid tidak dibenarkan melihat penyataan-penyataan dalam buku teks ketika di soal oleh guru.

Konsep pembelajaran pada zamanku lebih kepada menghafal teks. Tidak banyak kaedah yang digunakan oleh guru-guru pada ketika itu, berbeza dengan masa kini. Konsep yang diterapkan ketika itu lebih banyak kefahaman sahaja, kurang menjana idea. Walau bagaimana pun rasa banggaku tetap ada kerana murid-murid sudah mampu membaca dan mengira dalam tempoh yang singkat berbanding dengan murid-murid masa kini. Di beberapa buah sekolah kampung masih ada pelajar darjah 6 yang masih belum mahir membaca dan mengoperasi masalah matematik mudah.

Ketidakmampuan ibubapa untuk memberi wang belanja sekolah apalagi membeli buku-buku rujukan atau buku teks, tiada istilah ponteng bagiku. Setiap maklumat yang disampaikan oleh guru aku salin semuanya dan waktu malam adalah saat yang baik untuk aku menghafal agar soalan guru dapatku jawab ketika pembelajaran hari esok.

Jarak sekolah dari rumah ialah 2 batu jauhnya. Sepanjang perjalanan ke sekolahku bermacam-macam bunyi kedengaran di kiri kanan jalan, kadangkala bunyi saling bersahutan yang dihasilkan oleh Monyet dan babi hutan dalam belukar di sepanjang jalan kampung ke sekolah. Perjalanan ke sekolah perlu menyeberangi sungai Tuaran yang lebarnya 200 kaki menggunakan rakit yang diikat dengan bahan rotan di sediakan oleh bapa teman-teman sekolah. Apabila air banjir di sungai Tuaran terlalu deras dan dalam tetapi aku harungi dengan rakit bambu kerana sungai adalah satu-satunya pengangkutan yang utama bagi zaman sekolahku.

Pada tahun 50an masyarakat bumiputera di negeri Sabah amnya termasuk kampung Bantayan khususnya kurang kesedaran tentang pentingnya pendidikan diberikan kepada anak-anak sendiri untuk menjamin masa depan mereka diarea mendatang. Ini menyebabkan anak gadis atau kurangnyu remaja bilangan masuk bersekolah di GPS Tamparuli terutama murid perempuan dari kampung Bantayan hanya 2 orang sahaja itu pun tidak menamatkan persekolahan hingga darjah 6. Pemikiran ibubapa yang kolot masih berpegang kepada pepatah bahawa "setinggi mana pendidikan anak perempuan akhirnya ke dapur juga" ini menyebabkan ibubapa tidak mahu membuang tenaga dan wang untuk menyekolahkan anak-anak mereka. Jika pendapat ini di amalkan pada masa sekarang tenaga dan kemahiran wanita amat diperlukan dalam pembangunan dan ekonomi, sosial dan politik negara. Bak kata pepatah "Pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara".

Sepanjang persekolahanku dari darjah satu hingga darjah enam, tidak pernah aku berdiam diri duduk di rumah. Masa-masa terluang aku gunakan untuk mengambil upah bagi sebarang kerja yang di suruh oleh jiran-jiran iaitu membajak, meradu dan menyisir tanah sawah mereka dengan upah 50sen sehari, wang ini cukup tinggi nilainya masa zaman itu, ku rasa tidak keterlaluan wang 50sen sama nilai RM5.00 zaman sekarang. Jumlah wang itu sudah mencukupi untuk menampung perbelanjaan aku selama seminggu. Namun begitu banyak masa aku habiskan dengan menolong ibu membajak, meragus, menyisir tanah sawah yang diusahakan oleh ibu. Kerja-kerja ini dibantu oleh kerbau yang aku namakan Tambulion sempana nama kampung asalnya iaitu Kampung Tombulion Kota Belud hasil pembawaan oleh abang Johari Bin Anyob dari kampung tersebut.

Pada tahun 1957 iaitu tahun kemerdekaan Malaysia, aku pindah ke sekolah Centeral School Kota Belud. Harapan aku untuk melanjutkan pelajaran tidak ku teruskan kerana tawaran menjadi pendidik (guru) lebih aku minati memandangkan tarikan untuk menjadi guru lebih kuat. Dalam tempoh persekolahan yang singkat itu selama setahun saja, banyak pengalaman telahku perolehi. Ketika itu masyarakat kampung memerlukan seorang guru menjadi tenaga pengajar kepada masyarakat kampung dengan upah sebanyak satu ringgit seorang, peluang ini tidak ku lepaskan. Pada masa yang sama, aku mengajar abang Johari mata pelajaran ilmu Hisab dan Bahasa Melayu kerana beliau menyediakan tempat tinggal untukku di Tombolian Kota Belud. Hasil ketekunannya belajar maka beliau lulus darjah Enam dan kemudiannya menggantikan tempatku sebagai guru di kampung tersebut.

Oleh kerana kurang sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan ke sekolah maka ku lupakan untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi dan aku berhenti di Sekolah Centeral School Kota Belud, tambahan pula Ibu tinggal keseorangan di Kampung Bantayan tempat lahirku.

Oleh kerana tidak dapat berpisah dengan Ibu yang tersayang yang tinggal keseorangan memaksa aku pulang ke kampung Bantayan. Dalam tempoh masa itu, banyak kerja-kerja ku lakukan. Kerja yang paling menyeronokkan ialah mengusahakan sawah padi sendiri. Tanaman padi menjadi dan sebahagiannya ku jual. Pulangan hasilnya lumayan membuat hatiku amat gembira.

Setelah umur meningkat 23 tahun, aku tamatkan alam bujang dengan mengahwini seorang perempuan yang bernama Dayam bte Abar berasal dari kampung Mangkaladoi Tamparuli, pernikahan kami dilangsungkan dalam lingkungan tahun 50an. Dengan izin Allah yang menentukan kami dikurniakan 7 orang cahaya mata iaitu:

1. Alisius @ Abdul Aziz bin Sipil, lahir 29.06.1959, jam 5 pagi, hari Ahad.

2. Aliyus @ Abdul Adis bin Sipil, lahir 29.05.1961, jam 7 malam, hari Ahad.

3. Alijus @ Mohamad Ali bin Sipil, lahir 12.04.1963, jam 2 petang, hari Jumaat.

4. Alijim @ Azimlus bin Sipil, lahir 09.11.1965, jam 8 pagi, hari Sabtu.

5. Alizizah bte Sipil, lahir 06.07.1968, jam 6 petang, hari Sabtu.

6. Arwah Aliyu bin Sipil (Meninggal dunia ketika berumur 2 tahun, dikebumikan di kampung Mangkaladoi di belakang rumah ibunya)

7. Zubaidah bte Sipil, lahir 25.11.1971, jam 2.25 petang, hari Jumaat.

Kata orang jodoh pertemuan adalah ditangan Tuhan. Takdir menentukan jodohku tidak lama dengan isteri pertama iaitu dengan Dayam Bte Abar. Pada tahun 1972, penceraian telah berlaku diantara kami, penceraian yang berlaku pada kami tidak mempunyai sebab yang serius.

Setelah menduda kira-kira satu tahun aku berjodoh mengahwini seorang perempuan bernama Latuim bte Lontou @ Asiah berasal dari kampung Nuluhon Kiulu, pernikahan kami dilangsungkan dalam lingkungan tahun tujuh puluhan. Dengan izin Allah yang maha menentukan kami dikurniakan 5 orang anak, dua orang lelaki dan tiga orang perempuan ia itu:

1. Mohd Shah bin Sipil, lahir 01.08,1974, jam 8.30 pagi, hari Ahad.

2. Moh Saad bin Sipil , lahir 05.10.1975, jam 10.00 malam, hari Isnin.

3. Syamiah bte Sipil, lahir 10.08.1977, jam 2.00 pagi, hari Rabu.

4. Siti Jamilah bte Sipil, 04.08.1978, jam 3.15 petang, hari Jumaat.

5. Dayang Salbiah bte Sipil, 05.09.1982, jam 10.30 malam, hari Ahad.

Kelulusan darjah enam ketika itu ternyata begitu tinggi dan diperlukan oleh kerajaan negeri Sabah. Ketinggian dan keperluan ternyata jelas setelah aku diterima berkhidmat di Jabatan Pendidikan Sabah sebagai guru pelatih di beberapa buah Sekolah Native Volintary School dan sekolah rendah kebangsaan sehinggalah aku diiktiraf sebagai guru tetap setelah keluar mengikuti kursus-kursus yang di adakan oleh Jabatan Pendidikan Sabah.

Walaupun gaji amat rendah aku terima setiap bulan tetapi sebagai seorang guru ingin berbakti kepada rakyat dan negara terpaksa aku berazam meneruskan khidmat iaitu sehingga bersara. Sumbangan khidmat ku curah di beberapa tempat seperti berikut.

1. 1959 Native Primary School kg. Giok Tuaran sebagai Guru Besar.

2. 1963 Government Primary School kg. Tomis Tuaran sebagai Guru Besar.

3. 1964 Sekolah Rendah Kebangsaan Bolong Tuaran sebagai Guru Besar.

4. 1966 Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Tiong, Pengurusan Tuaran sebagai Guru Besar.

5. 1972 Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Kauluan Tuaran sebagai Guru Besar.

6. 1978 Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Bongol Tuaran sebagi Guru Besar.

7. 1980 Sekolah Rendah Kebangsaan Wangkod Tangilan Tuaran.

8. 1984 Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Damit sebagai Guru Besar.

9. 1988 Sekolah Kebangsaan Darau Kota Kinabalu sebagai Guru Biasa, setelah aku menolak pertukaran ke Sekolah Kebangsaan Lohan Ranau sebagai Guru Besar, SK Darau tempatku bersara pada 15.05.1994.

Aku diterima berkhidmat sebagai guru pendidik kanak-kanak masyarakat kampung hanya bermodel kelulusan ia itu:

1. 1950 Bersekolah di Government Primary School Tamparuli bersijil darjah Lima (V)

2. 1956 Bersekolah di Government Primary School Tamparuli bersijil darjah enam (VI)

3. 1975 Mengambil peperiksaan SRP, lulus mendapat Pangkat 'A'

Dalam masa menjawat jawatan sebagai pendidik kanak-kanak di sekolah, aku sentiasa melibatkan diri menghadiri kursus-kursus asas yang di anjurkan oleh Jabatan Pendidikan Sabah iaitu:

1962 Kursus Latihan Guru-guru Sekolah Sukarela (6 bulan), Anak Negeri (NVSTTC) bertempat di Tanjung Aru Kota Kinabalu.

1978 Kursus Pentadbiran Pendidikan dan Pengurusan Moden (4 hari) bagi Guru Besar Sekolah Rendah Kerajaan dan Bantuan Negeri Sabah, bertempat di Maktab Kent Tuaran.

1980 Kursus Hisab/Sains Peringkat Zon kawasan Tuaran (2 hari) bertempat di Maktab Kent Tuaran.

1980 Kursus dalam perkhidmatan, Sejarah Darjah 4 (5 minggu) bertempat di
SRK Sembulan Kota Kinabalu.

1981 Kursus Dalam Perkhidmatan, Membaca dan Menulis Jawi kali-2 (12
hari) bertempat di SMK Likas, Kota Kinabalu.

1982 Kursus Hujung Minggu Sistem Metrik (2 hari) bertempat di SMK Kiulu Tuaran.